Article Summary
Keseimbangan kerja dengan kehidupan inti pati penting untuk kesejahteraan, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, dan menjaga kebajikan staf. Ke arah itu, UPM tidak meminggirkan malah menyantuni dan mengambil kira hasrat warganya dari peringkat akar umbi melalui Bancian Suara Hati Putra dalam pelaksanaannya. Ikuti tulisan TRIBUN PUTRA oleh Azman Zakaria.
**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English
Keseimbangan kerja dengan kehidupan inti pati penting untuk kesejahteraan, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, dan menjaga kebajikan staf. Ke arah itu, UPM tidak meminggirkan malah menyantuni dan mengambil kira hasrat warganya dari peringkat akar umbi melalui Bancian Suara Hati Putra dalam pelaksanaannya. Ikuti tulisan TRIBUN PUTRA oleh Azman Zakaria.
SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) melangkah ke arah mewujudkan suasana persekitaran pekerjaan yang lebih mesra warganya, dengan mengambil kira keseimbangan kerja dengan kehidupan (work-life balance), dengan matlamat menjadikan institusi itu memiliki ciri-ciri yang diidamkan warganya sesuai dengan statusnya yang bereputasi antarabangsa.
Sehubungan itu, Bancian Suara Hati Putra dijalankan oleh Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM bagi menyantuni warga UPM untuk mengetahui dan mengambil kira hasrat mereka mengenai fokus, aspirasi dan hala tuju universiti yang diidamkan.
Pengarah IPSAS, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata melalui bancian itu, UPM dapat mendengar secara langsung suara hati warganya termasuk pegawai tadbir dan pelaksana, mengenai apa yang mereka rasakan mengenai universiti pada masa ini, dan apa mereka mahukan ada pada universiti itu pada masa depan.
“Dengan ini, keputusan yang dibuat bukan pendekatan berbentuk ‘top-down’ tetapi berdasarkan denyut nadi dari peringkat akar umbi,” katanya.
Selain keseimbangan kerja dengan kehidupan, katanya, dapatan daripada kajian yang dijalankan itu ialah supaya UPM lebih menjaga kebajikan staf dan pelajar, fokus kepada keselamatan, memperbanyakkan pembangunan staf melalui kursus atau latihan, serta memperkasa sistem dalam talian UPM.
Katanya, ada juga responden yang menyarankan agar UPM lebih memudahkan urusan kenaikan pangkat staf, menekankan pembangunan sahsiah dan rohani, fokus penjagaan kesihatan mental, meningkatkan kolaborasi dengan industri dan menokok penjanaan pendapatan.
Menurutnya, warga universiti turut berpendapat UPM perlu menerajui bidang pertanian dan makanan di negara ini serta menyumbang kepada masyarakat kerana ada yang merasakan UPM terlalu mengejar KPI antarabangsa dan mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat.
Prof. Dr. Ismi berkata, sebagai universiti bereputasi antarabangsa, segala bentuk kemudahan dan prasarana termasuk jalan raya, tandas dan seumpamanya juga perlu bertaraf antarabangsa, agar persepsi universiti bereputasi antarabangsa sentiasa terpelihara.
“Dengan itu, pelajar termasuk dari luar negara benar-benar dapat merasakan mereka belajar dalam universiti bertaraf antarabangsa dan tidak membuat perbandingan yang sama antara UPM dan universiti yang tidak bereputasi antaraangsa di negara mereka,” katanya.
Beliau juga berkata, melalui maklumat daripada bancian yang dijalankan, UPM akan dapat mengetahui indeks kesejahteraan sama ada tinggi atau rendah, dan perbandingan indeks antara PTJ, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya bagi meningkatkan indeks berkenaan.
“Kita harap bancian seumpama ini dapat dijalankan setiap tahun supaya ada ‘dedicated platform” (pelantar khusus) untuk staf dan pelajar melahirkan persepsi mereka, untuk diambilkira dalam melestarikan UPM,” katanya.
Penyelidik Bersekutu IPSAS, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad pula berkata, pengumpulan data Kajian Suara Hati Putra dilakukan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif dengan menganalisis dokumen dari maklumbalas bagi soalan terbuka (open-ended question), dan penyelidikan kualitatif bagi menghurai masalah dan membina kefahaman.
Berhubung kesejahteraan staf, beliau berkata, terdapat enam dapatan utama kajian yang boleh diperkenalkan, iaitu memperbanyakkan peluang latihan mengikut keperluan, menekankan agenda kesihatan fizikal dan mental, meneruskan fleksibiliti bekerja dari rumah, meningkatkan kemudahan infrastruktur UPM, penetapan KPI yang realistik, mendengar suara staf serta persekitaran kerja yang kurang birokrasi dan fleksibel.
Bagi cadangan penambahbaikan untuk pengajaran dan pembelajaran, dapatannya termasuk bahawa terdapat banyak komputer yang tidak selari dengan keperluan semasa, memberikan lebih fleksibiliti kepada pengajaran pensyarah, memperkasa PutraBlast termasuk sistem pembelajaran atas talian, meningkatkan kemudahan kuliah dan amali dan penyediaan alatan pembelajaran menggunakan teknologi semasa.
Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan berkata bagi cadangan usaha pembangunan pelajar, ia termasuk pembangunan keusahawanan seperti usahawan tani, memperbanyak kerjasama dalaman dan industri luar untuk keusahawanan dan menyediakan lebih banyak tapak keusahawanan pelajar dalam kampus.
Berkaitan penyelidikan dan inovasi pula, UPM perlu meningkatkan lagi tahap kecemerlangan dan mewujudkan persekitaran kampus yang sejahtera bagi penyelidikan dan inovasi merangkumi instentif khas kepada penyelidikan dan penerbitan, memperkasa infrastruktur dan makmal penyelidikan, memudahkan urusan pengurusan geran, menambah dana penyelidikan dan menggalakkan aktiviti pembudayaan inovasi.
Bagi memantapkan penerbitan pula, ia merangkumi usaha pemberian insentif dan bantuan proof read untuk penerbitan, insentif kepada setiap jenis penerbitan, memberi markah atas usaha penghantaran artikel walaupun ditolak, memperbanyak insentif dan galakan penulisan bersama-sama pelajar, mengiktiraf penulisan popular dan advokasi awam, penentuan wajaran penerbitan wajar diberi fleksibiliti, dan terus mengiktiraf jurnal berindeks ERA dan Scopus.
Untuk meningkatkan lagi jaringan industri dan masyarakat pula, ia merangkumi melipatganda usaha jaringan kerjasama dengan industri, memperbanyak dan mempermudahkan geran jaringan komuniti, menawarkan kepakaran yang dimiliki UPM kepada masyarakat, manakala pelajar perlu didedahkan dengan masyarakat dan membina jaringan, dan UPM perlu menjadi juara dalam mendekati masyarakat. - UPM
Date of Input: 14/04/2021 | Updated: 14/04/2021 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA