“Bertugas Sebagai Jurufoto UPM Jadi Kenangan Manis Hingga Akhir Hayat” – Sabri Omar | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » “Bertugas sebagai jurufoto UPM jadi kenangan manis hingga akhir hayat” – Sabri Omar

“Bertugas sebagai jurufoto UPM jadi kenangan manis hingga akhir hayat” – Sabri Omar

Article Summary
Mengalas jawatan sebagai jurufoto di Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi kenangan paling manis hingga akhir hayat bagi Sabri Omar.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 25 Okt – Mengalas jawatan sebagai jurufoto di Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi kenangan paling manis hingga akhir hayat bagi Sabri Omar.

 

Sabri, 60, berkata beliau menyedari minatnya dalam bidang fotografi bermula dengan kecenderungannya terhadap sinematografi foto pemandangan, sambil menyimpan hasrat untuk menghasilkan foto yang memberi makna.

 

“Pada pandangan saya, minat dan kemahuan yang mendalam adalah kunci utama untuk maju dalam bidang fotografi, dan juga perlu ada keinginan untuk memperbaharui kemahiran agar kekal relevan dalam bidang ini,” katanya.

 

Menceritakan detik pertama bertugas di UPM pada 1 Oktober 1984, beliau pada mulanya ditawarkan jawatan Pelayan Makmal di Fakulti Perikanan dan Sains Samudera.

 

 

“Sebenarnya, saya telah mula mengambil foto ketika di fakulti itu bagi membantu menyediakan gambar untuk kegunaan projek tahun akhir pelajar pada ketika itu menggunakan projektor slaid,” katanya.

 

Tambah beliau, hasil foto yang diambil memainkan peranan penting untuk pelajar dan pensyarah bagi kegunaan pembentangan rasmi di dalam dan luar negara.

 

“Saya masih ingat kamera pertama saya ialah jenama Nikon F3, dan kamera zaman dahulu menggunakan filem. Oleh kerana pihak fakulti ketika itu melihat minat saya dalam fotografi, saya turut ditugaskan untuk mengendalikan fotografi di makmal, tugas lapangan serta aktiviti rasmi fakulti,” katanya.

 

Sabri berkata beliau turut mengambil inisiatif untuk belajar sendiri mengendalikan kamera serta mengikuti kursus pendek fotografi untuk memantapkan teknik-teknik fotografi.

 

“Bila saya sudah mula memegang kamera, saya eksperimen sendiri mengambil foto dan belajar dengan kawan-kawan. Dulu, bila saya jumpa jurufoto profesional, soalan yang sering ditanya adalah kamu guna shutter speed berapa, aperture berapa,” katanya sambil tertawa mengimbau memori awal mengendalikan kamera.

 

Walaupun beliau bertugas secara tidak langsung sebagai jurufoto, tugasan di makmal tidak dilupakan.

 

“Selain memastikan alatan di makmal tersedia untuk kegunaan pelajar bersama pembantu makmal, saya juga menyediakan peralatan sains yang diperlukan oleh pensyarah dan pelajar serta memastikan makmal sains dalam keadaan bersih dan kemas,” katanya.

 

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, tugasannya mungkin kelihatan mudah dari sudut pandangan luaran, namun sebenarnya tidak.

 

 

“Penggunaan alatan makmal bergantung kepada subjek yang diajar oleh pensyarah, dan terdapat tatacara untuk pembersihan alatan tersebut. Ada ketika saya perlu mencari sampel perikanan yang memerlukan kemahiran untuk mendapatkan sampel yang tepat,” katanya.

 

Beliau berkhidmat di fakulti tersebut selama 12 tahun, dan fakulti itu kemudiannya berpindah ke Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), yang kini dikenali sebagai Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

Kemudiannya, pada tahun 1990, jawatannya dijumudkan dan beliau ditukar kepada Pembantu Am Rendah, bertugas di Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar, yang kini dikenali sebagai Fakulti Sains, pada tahun 1996.

 

“Di sini saya mengambil masa hampir dua bulan untuk menyesuaikan diri dengan tugasan di pejabat, dan antara tugas utama saya adalah mencetak soalan peperiksaan atau ujian pelajar yang diarahkan oleh pensyarah dan Bahagian Akademik fakulti,” katanya.

 

Sabri turut ditugaskan mengambil foto aktiviti yang dianjurkan di fakulti kerana kemahirannya dalam fotografi.

 

“Pada peringkat awal, saya akui kekok kerana telah lama bertugas di makmal. Namun, saya mengambil inisiatif untuk belajar dan akhirnya seronok dapat bertugas dengan baik. Pada tahun 2002, saya ditawarkan jawatan sebagai jurufoto,” katanya.

 

 

Apabila ditanya tentang perubahan kerjayanya, beliau berpendapat bahawa dalam hidup perlu ada sasaran untuk memajukan diri ke peringkat yang lebih baik demi masa depan.

 

“Saya boleh memilih untuk berada dalam satu jawatan yang sama, namun saya berasa rugi jika tidak mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang baharu. Dengan kemahiran yang saya ada, saya beranikan diri untuk memohon sebagai jurufoto,” katanya.

 

 

Beliau turut berkongsi pengalaman manis semasa bertugas sebagai jurufoto, antaranya berpeluang bertugas dalam majlis yang melibatkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail; mantan Pro Canselor UPM, Tan Sri Hashim Aman; serta mantan Perdana Menteri Malaysia, antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

 

“Satu perkara yang saya pelajari apabila bertugas sebagai jurufoto adalah ketepatan masa sangat penting. Jangan persoalkan mengapa masa sesebuah program ditetapkan begitu, kerana itulah disiplin dalam kerjaya ini,” katanya.

Date of Input: 24/10/2024 | Updated: 28/10/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/23:3:46:41~noCache