Dengan Pendidikan Pendapatan Rakyat Malaysia Boleh Ditingkatkan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Dengan pendidikan pendapatan rakyat Malaysia boleh ditingkatkan

Dengan pendidikan pendapatan rakyat Malaysia boleh ditingkatkan

Article Summary
Lebih 72 peratus rakyat Malaysia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah mereka mencari pekerjaan sebaik sahaja tamat peperiksaan, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2019.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Lebih 72 peratus rakyat Malaysia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah mereka mencari pekerjaan sebaik sahaja tamat peperiksaan, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2019.

Sementara itu, hanya 170,000 calon yang menyatakan minat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ini kerana rata-rata daripada mereka mempercayai bahawa pendidikan tinggi tidak menjamin prospek pekerjaan yang lebih baik.

Ini kerana ramai golongan muda sudah selesa bekerja selepas tamat peperiksaan SPM dan berjaya memperoleh pendapatan sendiri dengan kerja sampingan yang dilakukan. Oleh itu, mereka dengan sendirinya membuat keputusan untuk tidak sambung belajar kerana ingin mencari wang faktor ekonomi sekarang yang mendesak mereka, menurut  Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed.

 

Sambung belajar sambil bekerja untuk kenaikan gaji

“Namun dengan kelayakan SPM ini bukanlah sebuah jaminan jangka masa panjang untuk menaikkan kadar kenaikan gaji setiap tahun. Kelayakan akademik sangatlah penting bagi menilai prestasi kita di sektor kerajaan dan swasta pada masa kini untuk kenaikan tangga gaji.

Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed,
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi 

“Oleh yang demikian, saya menyarankan agar golongan muda zaman sekarang yang bekerja, berniaga, atau sebagai pempengaruh untuk sambung belajar secara formal atau tidak formal separuh masa. Dengan itu, anda masih boleh mencari wang di samping menambah ilmu dalam bidang kerjaya yang diceburi.

“Pendidikan tidak terhad kepada formal sahaja. Pendidikan tidak formal merujuk kepada program peningkatan bakat yang dilaksanakan oleh industri bagi memenuhi keperluan mereka. Pendidikan tidak formal perlu diarus perdanakan bagi memastikan pencapaian pendidikan rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan,” katanya.

Tambahnya, Institusi Pengajian Tinggi(IPT) memainkan peranan yang sangat penting untuk menguwarkan kepada semua orang untuk menyambung pendidikan secara formal atau tidak formal separuh masa.

 

 

Trend ekonomi gig punca ramai tidak sambung belajar

Antara punca pelajar tidak mahu sambung belajar kerana peningkatan jumlah peluang pekerjaan dalam ekonomi gig yang menjadi trend terkini dengan beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatannya, kata pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) UPM, Profesor Dr. Siti Aishah Hassan.

Prof. Dr. Siti Aishah Hassan,
Fakulti Pengajian Pendidikan

 

“Secara ringkas, dapat difahami bahawa ekonomi gig menawarkan ciri-ciri pekerjaan yang diminati pekerja sekarang yang lebih fleksibel, tidak terikat dan dalam jangka masa pendek. Manakala, majikan pula tidak terikat kepada seseorang pekerja dan boleh memilih yang terbaik untuk sesuatu projek di luar sana.

“Pekerjaan jangka pendek mungkin menawarkan jumlah gaji yang lebih lumayan berbanding dengan pekerjaan tetap yang mengongkong. Bagi mengatasi masalah ini, seharusnya kita memahami ciri-ciri institusi pengajian tinggi bagaimana mempengaruhi pelajar untuk sambung belajar.

“Terdapat beberapa mengapa lepas SPM tidak mahu sambung belajar, peluang pekerjaan, biasiswa dan bantuan kewangan, gaya kehidupan setempat, keperluan kemasukan, dan penginapan.

Oleh itu, bagi menarik minat pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, sesebuah institusi pendidikan perlu melatih pelajar dengan melibatkan diri dalam pekerjaan jangka pendek, pekerjaan yang boleh dibuat di mana-mana sahaja yang mungkin menawarkan jumlah gaji yang lebih lumayan berbanding dengan pekerjaan tetap yang mengongkong.

Katanya, peningkatan jumlah peluang pekerjaan dengan ekonomi gig adalah trend terkini punca mereka tidak mahu sambung belajar. Ekonomi gig menawarkan ciri-ciri pekerjaan yang diminati pekerja sekarang yang tidak terikat dalam jangka masa pendek.

 

Role model pengaruh remaja

Namun, remaja amat memerlukan bimbingan daripada golongan dewasa meskipun ekonomi adalah halangan utama bagi kelangsungan hidup menurut Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof. Madya Dr. Hanina Halimatusaadiah Hamsan.

Prof. Madya Dr. Hanina Halimatusaadiah Hamsan
Fakulti Ekologi Manusia

 

“Jadi, remaja ini perlukan pendedahan untuk membentuk matlamat hidup yang lebih jelas bagi mencapai sesuatu dalam kehidupan mereka agar dapat mengubahnya dan memenuhi segala keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan minuman.

“Remaja masa kini senang dipengaruhi dengan kehidupan yang materialistik atau ingin menjadi kaya dengan cepat. Suri teladan atau ikon yang mempengaruhi mereka tidak menambah minat dalam pendidikan untuk mengubah masa depan mereka.

Tambahnya, suri teladan yang boleh menjadi contoh kepada remaja ini adalah seseorang pernah hidup susah, akhirnya berjaya meneruskan pendidikan, mempunyai kewangan yang stabil, mempunyai sahsiah yang berkualiti dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Sementara itu, golongan ilmuwan yang baik akhlaknya hendaklah dijadikan suri teladan supaya menjadi ikutan generasi kini.

“Selain dari sudut kewangan dan kebendaan, kelebihan dan kemuliaan orang yang berilmu berbanding yang tidak berilmu perlulah terus dicanang. Keikhlasan menuntut ilmu adalah untuk mencari keredaan dan mengenal pencipta juga harus difahamkan. Ilmu bukan semata-mata untuk tujuan komoditi, yang lebih utama ilmu adalah cahaya penyuluh jalan yang lurus,” katanya.

Date of Input: 15/11/2022 | Updated: 15/11/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/16:14:28:33~noCache