Dulu Ibu, Kini Aku Jururawat Lelaki Penerus Legasi Dalam Keluarga | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Dulu ibu, kini aku jururawat lelaki penerus legasi dalam keluarga

Dulu ibu, kini aku jururawat lelaki penerus legasi dalam keluarga

Article Summary
Melihat seorang ibu yang berkhidmat sebagai seorang misi telah membuatkan seorang pemuda juga ingin berbakti kepada masyarakat dalam bidang kejururawatan yang amat kurang sekali diceburi oleh kaum lelaki di luar sana.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Foto Oleh: Sabri Omar

Dulu ibu, kini aku jururawat lelaki penerus legasi dalam keluarga

Melihat seorang ibu yang berkhidmat sebagai seorang misi telah membuatkan seorang pemuda juga ingin berbakti kepada masyarakat dalam bidang kejururawatan yang amat kurang sekali diceburi oleh kaum lelaki di luar sana.

Ketua Jururawat lelaki, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Muhamammad Zulhilmi Hanafi berkongsi beliau pada masa kecil selalu mengikuti  ibunya yang bertugas di hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan. Pendedahan ini membuatkannya ingin menyambung legasi ibunya dalam bidang yang sama di hospital yang sama tercapai.

“Bila saya lihat ibu saya menjaga pesakit dan cara dia berbual dan melayani mereka, itu yang membuat saya terdorong dan mengikut cara dia bekerja. Dialah menjadi inspirasi saya," kata beliau.

"Dia (ibu) selalu berkata pada saya pekerjaan sebagai seorang jururawat adalah pekerjaan yang menjamin masa depan dan ianya adalah saham akhirat untuk mereka membantu pesakit kembali sihat,” katanya.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 12 tahun sebagai jururawat berkongsi tidak semua bersetuju seorang lelaki itu adalah jururawat kerana pekerjaan ini selalunya dipolopori oleh kaum wanita.

“Ada juga rakan-rakan dan ahli keluarga mempertawakan apabila saya menyatakan hasrat untuk menjadi jururawat selepas tamat belajar. Namun pedulikan kata-kata mereka.

“Ini kerana niat kita bekerja untuk menolong orang. Di hospital ramai pesakit lelaki membuat permintaan sekiranya terdapat jururawat lelaki di unit tersebut kerana lebih selesa bagi mereka. Itulah salah satu sebab juga mengapa saya memilih pekerjaan ini,” katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik ini turut berkongsi suatu ketika dahulu, jururawat lelaki ramai tetapi kurang dilihat kerana pekerjaan ini didominasi oleh kaum wanita di Malaysia berbanding di luar negara,  sektor ini  banyak dipelopori oleh lelaki juga.

“Di Malaysia persepsi masyarakat kita beranggapan jururawat lelaki adalah insan yang lembut. Namun itu hanyalah sebuah persepsi, tak semua jururawat lelaki adalah lembut.

“Jururawat lelaki adalah orang yang akan membantu jururawat perempuan dan mereka adalah lebih fleksibel untuk membantu jururawat wanita yang perlu mengurus anak dan juga keluarga.

“Kami sebagai jururawat lelaki perlu bertolak ansur mahir serba -serbi, sebab itu pentingnya jururawat lelaki di mana-mana wad,” katanya.

Zulhilmi telah berkhidmat selama 4 tahun di HPUPM berkongsi matlamat hospital ini mengamalkan konsep mesra ibadah iaitu di wad lelaki hanya ada staf lelaki manakala wad perempuan hanya staf perempuan demi menjaga maruah dan aurat mereka.

Pengalaman pahit sepanjang berkhidmat

Mengulas mengenai pengalaman sukar dilupakan, katanya, pengalaman sedih yang memberikan kesan sepanjang bertugas sebagai jururawat adalah apabila melihat sendiri pesakit dibawah jagaannya meninggal akibat jangkitan Covid-19.

“Ketika ditugaskan tugas di ICU,  pesakit yang dimasukkan ke wad ini hanya antara hidup atau mati lagi-lagi sebelum masyarakat diberikan vaksin. 

“Jumlah kematian sangat tinggi sewaktu pandemik. Kami terpaksa bekerja lebih waktu dan pada waktu itu kami juga adalah orang pengantara kepada ahli keluarga yang dimasukkan ke hospital akibat Covid-19,” katanya.

Tambahnya, dada sebak dan beremosi kerana ramai pesakit dibawah seliaan kita meninggal dunia  dengan situasi kerja yang terlalu padat, terpaksa pakai PPE, dengan jumlah jururawat yang dijangkiti ramai membuatkan kami terus kuat menghadapi  wabak Covid-19.

Nasihat beliau kepada lelaki mahupun wanita terutama generasi baharu yang bercita-cita untuk menjadi jururawat agar tidak menganggap kerjaya jururawat hanya sebagai suatu kerja semata-mata.

Sebaliknya. letak dalam hati bahawa bidang kejururawatan ini adalah suatu profesion agung yang bersifat berterusan dan tidak terhenti setakat diploma sahaja. - UPM

Date of Input: 31/05/2023 | Updated: 31/05/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/16:15:33:40~noCache