Article Summary
Perayaan Deepavali atau Diwali merupakan salah satu perayaan terbesar masyarakat beragama Hindu, Sikh, Jain dan aliran Buddha Newar di serata dunia. Istilah ini adalah gabungan dua patah kata ‘Deepam’ yang bermaksud lampu atau cahaya manakala ‘vali’ pula membawa makna arah atau jalan.
Perayaan Deepavali atau Diwali merupakan salah satu perayaan terbesar masyarakat beragama Hindu, Sikh, Jain dan aliran Buddha Newar di serata dunia. Istilah ini adalah gabungan dua patah kata ‘Deepam’ yang bermaksud lampu atau cahaya manakala ‘vali’ pula membawa makna arah atau jalan.
Dalam Bahasa Sanskrit pula dīpāvali bermaksud barisan lampu. Berikutan itu, perayaan ini juga dikenali dengan nama ‘Pesta Cahaya’. Menurut kepercayaan agama Hindu, cahaya merupakan satu unsur atau elemen yang amat penting di dalam kehidupan. Peningkatan pemahaman mengenai cahaya oleh seseorang yang beragama Hindu menandakan satu permulaan kehidupan ke arah mencapai kejelasan dalam aspek pemikiran dan lebih berfikiran positif.
Maka, segala pemikiran yang negatif dan tidak bermanfaat dapat dielakkan. Malah perayaan Deepavali itu sendiri adalah untuk meraikan kemenangan cahaya terhadap kegelapan, kebaikan terhadap kejahatan, dan pengetahuan terhadap kejahilan.
Sejajar dengan motif perayaan itu sendiri, amalan dan tradisi yang dipraktikkan secara turun-temurun sewaktu sambutan perayaan Deepavali turut menggambarkan kepentingan dan keperluan ke arah mencapai kehidupan yang lebih baik. Secara amnya, pelbagai amalan dan tradisi diamalkan secara turun temurun sebagai simbolik kepada sambutan Pesta Cahaya ini.
Salah satu amalan utama di pagi Deepavali seawal jam 5 sehingga ke 7 pagi adalah upacara ‘mandi minyak’ bermula dengan aktiviti urutan rambut dan badan dengan minyak bijan dan mandian menggunakan campuran serbuk “shikakai”, sejenis herba Ayurvedik. Amalan ini dipercayai dapat menghapuskan segala perasaan ego, kebencian dan sebagai simbolik penyucian dan membersihkan diri dari segala perkara yang negatif.
Apabila dilihat dari aspek kesihatan pula amalan ‘mandi minyak’ menggunakan minyak bijan dapat meningkatan kesihatan kulit, bagus untuk saraf, mengurangkan tekanan fizikal dan mental, merawat penyakit seperti kemurungan, migrain, gangguan perut, kencing manis, jaundis, kanser, dan penyakit-penyakit lain.
Satu lagi tradisi masyarakat Hindu sewaktu perayaan Deepavali adalah melukis ‘kolam’ atau lebih dikenali dengan nama Rangoli di hadapan rumah. Perkarangan rumah akan dicuci bersih dan disimbah dengair air kunyit terlebih dahulu sebelum ‘kolam’ mula dilukis. ‘Kolam’ kebiasaannya dilukis menggunakan tepung beras, beras dan serbuk berwarna-warni, serta dihiasi dengan bunga dan lampu berwarna-warni. Lukisan ‘kolam’ juga amat penting kerana ianya melambangkan kebahagian, positiviti dan keceriaan rumah tangga selain bertujuan untuk ‘mengundang’ dan ‘mengalu-alukan’ kehadiran Dewi Lakshmi yang merupakan dewi kekayaaan dan nasib baik.
Tidak ketinggalan juga juadah dan manisan berwarna-warni yang dihidangkan sewaktu sambutan hari Deepavali. Amalan menghidangkan atau memberi manisan kepada tetamu dan ahli keluarga merupakan tradisi bagi meraikan sesuatu kejayaan atau berita yang mengembirakan yang semenangnya diamalkan oleh bangsa India secara keseluruhanya. Antara manisan yang sering kali dihidangkan adalah laddo, jalebi, gulab jamun, palkova, halwa dan lain-lain lagi. Berkongsi manisan pada hari perayaan ini menandakan kepentingan berkongsi kasih sayang dan meraikan kebahagiaan Deepavali dengan semua orang.
Maka, sambutan Deepavali atau Diwali ini bertujuan untuk memberi kejelasan pemikiran dan penerapan menghargai apa yang ada di dalam kehidupan seharian, memperbanyakkan amalan kebaikan, meningkatkan pengetahuan dan menghargai kebersamaan dalam menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Justeru, idea perayaan Deepavali ini adalah seberapa jelas anda melihat kehidupan dan melihat segala-galanya dengan pandangan posititif di sekeliling anda, menentukan sejauh mana anda menjalankan kehidupan anda dengan bijak, waras dan bahagia. Jadi hayatilah makna sebenar Deepavali sebelum mula sibuk dengan persiapan sambutan semata-mata kerana Deepavali bukan hanya sekadar murukku, cuti umum dan bunga api semata-mata.
Oleh
Rathidevi a/p Thevadas
Pegawai Penerbitan
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
Emel: rathidevi@upm.edu.my
Date of Input: 18/10/2022 | Updated: 18/10/2022 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA