Hidup Sihat Di Tahun Baru Melalui Riadah Berjalan Santai | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Hidup sihat di tahun baru melalui riadah berjalan santai

Hidup sihat di tahun baru melalui riadah berjalan santai

Article Summary
Angan-angan dan azam ingin kurus sering meniti di bibir rata-rata individu di dunia tatkala melangkah ke tahun baru bahkan keinginan untuk memiliki tubuh yang ideal dan sihat ini seperti kata azimat yang popular saban tahun. Bagaimanapun, pada akhir tahun ramai yang kecundang dengan impian pada awal Januari ini.


Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari,

Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat,

Universiti Putra Malaysia

 

Angan-angan dan azam ingin kurus sering meniti di bibir rata-rata individu di dunia tatkala melangkah ke tahun baru bahkan keinginan untuk memiliki tubuh yang ideal dan sihat ini seperti kata azimat yang popular saban tahun.

 

Bagaimanapun, pada akhir tahun ramai yang kecundang dengan impian pada awal Januari ini.

Lebih meruntun jiwa apabila ada yang memiliki berat badan yang semakin berganda kerana meninggalkan disiplin diet.

 

Sibuk bekerja serta tidak mempunyai masa menjadi frasa ‘mangsa’ yang dijadikan alasan untuk tidak bersukan dan naluri ingin kurus sekadar menjadi hangat-hangat tahi ayam.

 

Demi mencapai keinginan gaya hidup yang sihat sememangnya memerlukan komitmen, disiplin, dan kesabaran. Kini ledakan media sosial terutamanya TikTok sangat mempengaruhi gaya hidup sesorang.

 

TikTok menjadi platform penggunanya berkongsi gaya hidup seharian dan mendorong ke arah kebaikan. Ramai yang telah memuat naik video mula berdiet dan mengamalkan senaman berjalan cepat atau ‘Brisk Walk’ untuk mencapai azam ingin kurus.

 

Berjalan dengan cepat atau pantas sememangnya memberi banyak kebaikan kepada kesihatan fizikal dan mental.

 

Amalan berjalan ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan jantung dan meningkatkan kekuatan otot tetapi merupakan senaman yang mudah untuk dilakukan dengan kos yang sangat jimat.

 

Cadangan untuk berjalan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari adalah sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat yang diterima oleh kebanyakkan pakar kesihatan.

 

Aktiviti ini boleh dilakukan hampir di mana-mana tempat tanpa memerlukan peralatan yang khusus dan tidak memenatkan seperti berlari atau berjogging. 

 

Biar lambat asalkan selamat merupakan peribahasa yang sesuai pada senaman ini. Hal ini demikian kerana, langkah yang terlalu drastik dan ekstrem untuk mencapai impian kurus dikhuatiri akan memakan diri.

Mulailah dengan sasaran yang realistik dan konsisten bagi mempraktikkan budaya berjalan selama 30 minit setiap hari atau beberapa kali seminggu agar menjadi sebahagian gaya hidup sebelum meningkatkan sasaran masa.

 

Oleh itu, jika seseorang merasa sibuk bekerja, mereka boleh mula mengamalkan rutin berjalan kaki setelah tamat waktu bekerja di sekitar bangunan pejabat selama setengah jam.

 

Sekiranya senaman ini dimasukkan ke dalam gaya hidup harian, sudah pasti akan meningkatkan kesihatan individu dan mengurangkan berat badan walaupun mengambil masa yang sedikit lama asalkan berdisiplin.

 

Selain itu, aktiviti ini boleh dilakukan secara santai sambil menikmati keindahan kawasan rekreasi dan secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko kecederaan dan kemurungan.

 

Lebih menarik sekiranya aktiviti berjalan ini dapat dilakukan bersama rakan-rakan atau insan tersayang bagi manimbulkan rasa lebih seronok selain memberikan sokongan dan motivasi antara satu sama lain.

 

Walaupun senaman berjalan dilihat mudah untuk dilaksanakan namun masih ramai yang sukar untuk memecahkan takhta ‘M’ iaitu malas dan malu untuk melakukannya.

 

Sudah tiba masanya masyarakat di Malaysia mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat memandangkan kini pelbagai makanan viral yang dihidangkan di media sosial menggugat keinginan untuk mencuba dan membahayakan.

 

Tidak dinafikan bahawa persembahan makanan yang menarik bagi mencipta identiti yang unik dan hidangan kreatif memainkan peranan penting dalam menarik pelanggan ke premis makanan.

 

Namun demikian, situasi semasa menunjukkan makanan tular di media sosial seringkali kaya dengan gula, lemak, atau garam tinggi yang menjadi cabaran buat masyarakat dalam memelihara gaya hidup yang sihat.

Pempengaruh kesihatan, Dr Rafidah Abdullah juga dilihat tanpa jemu mendidik masyarakat menerusi platform media sosialnya berkenaan penjagaan buah pinggang dan amalan hidup sihat menerusi aktiviti beriadah dan pemakanan sihat.

 

Harapan dan peluang baharu untuk membudayakan gaya hidup sihat adalah tanggungjawab bersama seluruh masyarakat. Ayuh kita bersama mulakan langkah untuk berjalan setiap hari demi 2024 yang lebih sejahtera dan sihat.

 

Mulakan tahun baru dengan langkah yang positif menuju gaya hidup yang lebih sihat dan seimbang agar pada hujung tahun impian awal untuk kurus dan sihat dapat direalisasikan.

 

Date of Input: 18/01/2024 | Updated: 18/01/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/23:3:24:15~noCache