Kelulut Membangun Ekonomi Mampan Dan Keterjaminan Makanan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Kelulut membangun ekonomi mampan dan keterjaminan makanan

Kelulut membangun ekonomi mampan dan keterjaminan makanan

Article Summary
Belanjawan 2024 telah memperuntukkan sebanyak RM6.17 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilihat sebagai inisiatif baik untuk membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan, serta seterusnya memacu sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.


Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) dengan Kepujian
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK)
Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Belanjawan 2024 telah memperuntukkan sebanyak RM6.17 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilihat sebagai inisiatif baik untuk membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan, serta seterusnya memacu sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Hal ini dilihat sebagai suatu peluang yang baik dalam penternakan kelulut sebagai usaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan keberlangsungan hidup masyarakat, di samping mewujudkan strategi pembangunan ekonomi yang mampan.

“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia” – Surah an-Nahl (Ayat 69)

Pensyarah Kanan, Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syari Jamian berkata, permintaan terhadap madu kelulut sangat tinggi walaupun purata penghasilannya adalah rendah.

Keadaan ini kerana kelulut menghasilkan madu yang mengandungi bahan antioksidan yang tinggi, rendah indeks glisemik (GI) dan tinggi kandungan gula ‘trehalulosa’ yang bermanfaat kepada kesihatan manusia.

Menurut Dr. Syari Jamian, ternakan kelulut pada masa ini telah menjadi suatu industri yang kian popular kerana madu kelulut yang dihasilkan dianggap sebagai produk premium dengan harga jualan madu kelulut mencapai harga pasaran yang tinggi, iaitu antara RM250 hingga RM700.

Dengan madu kelulut, pelbagai produk hiliran boleh dihasilkan, antaranya ialah sabun, gel balm dan kosmetik dan produk hiliran berasaskan makanan seperti kopi kelulut, gula-gula dan coklat.

Ini memberikan kepelbagaian dalam sumber makanan manusia, di samping menyediakan peluang kepada masyarakat untuk menceburi bidang keusahawanan tani dan menjadikannya kerjaya atau sekadar meraih pendapatan sampingan.

Industri penternakan kelulut mampu menjadi sumber ekonomi kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar yang mempunyai akses kepada persekitaran semula jadi.

Pembangunan industri ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu khususnya dalam penyelenggaraan koloni kelulut, pengeluaran madu dan pengurusan perniagaan madu.

Bukan itu sahaja, dalam bidang pertanian, kelulut membantu dalam pendebungaan tumbuhan apabila berlakunya pemindahan debunga oleh kelulut dari satu bunga ke bunga lainnya untuk menggalakkan kepelbagaian genetik dalam populasi tumbuhan, yang seterusnya meningkatkan daya tahan tumbuhan.

Pendebungaan oleh kelulut membantu dalam penghasilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih besar, lebih sihat, dan lebih tahan terhadap penyakit, dan ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil pertanian dan kelestarian pengeluaran makanan.

Dr. Syari Jamian menyatakan khasiat madu kelulut antaranya adalah dapat meningkatkan metabolisme badan, menambah tenaga batin, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin serta merawat kecederaan dalaman dan pelbagai penyakit seperti diabetes mellitus (kencing manis), strok, hepatitis (radang hati), kanser, hipertensi (darah tinggi) dan batu karang.

Madu kelulut yang diiktiraf oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai “Superfood” pertama Malaysia membuktikan bahawa penternakan kelulut memerlukan teknik dan perhatian yang teliti untuk memastikan pertumbuhan dan pengeluaran madu yang optimum.

Oleh itu, penternakan kelulut dan perkembangan industri madu kelulut hendaklah dikukuhkan dengan pendidikan sewajarnya dan pengurusan mampan untuk memastikan kelestarian madu kelulut terpelihara tanpa merosakkan populasi lebah kelulut atau habitat semula jadinya.

Penternak kelulut hendaklah didedahkan dengan teknik ke arah ternakan kelulut lestari untuk memastikan perlindungan terhadap koloni kelulut, di samping menjaga kelestarian kelulut dan madu yang dihasilkan, dan pada masa yang sama, memelihara kelestarian alam.

Date of Input: 20/11/2023 | Updated: 20/11/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/23:4:00:16~noCache