Article Summary
Setiap penternak mempunyai strategi untuk memastikan ikan mencapai saiz pasaran dalam tempoh yang singkat, namun elakkan daripada mempuasakan ikan yang belum mencapai saiz pasaran, dan kurangkan kadar peratusan pemberian makanan jika sudah atau hampir mencapai saiz yang dikehendaki.
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Secara kebiasaannya, penternak ikan yang mengusahakan ternakan ikan kolam atau sangkar tidak memberi makan pada ternakan mereka bagi suatu tempoh yang tertentu jika ternakan mereka sudah mencapai saiz pasaran. Ini adalah bertujuan untuk mengekalkan saiz ikan yang diternak atau melambatkan pembesarannya. Hal ini berlaku disebabkan strategi sesetengah penternak untuk memenuhi kehendak peraih yang inginkan saiz ikan yang sesuai untuk dijual di restoran dan juga pembeli.
Rutin pemakanan yang dilakukan secara selang seli ini kadang-kadang dilakukan oleh penternak yang mengalami isu memasarkan ikan yang terlebih besar dari saiz yang dikehendaki oleh pasaran kedai makan. Akan tetapi, kelebihan amalan seperti ini dapat menjimatkan kos makanan ikan itu sendiri dan mengekalkan kadar kualiti air yang stabil.
Walau bagaimanapun ikan yang diternak juga perlu diberi makan secara konsisten dan dalam jumlah sepatutnya mengikut peratusan kadar berat badan semasa ikan bagi mengekalkan daya tahan ikan serta mengurangkan stress.
Penternak ikan perlu tahu pemberian makanan adalah antara aspek penting dalam menentukan kadar tumbesaran ikan hingga mencapai saiz yang boleh dipasarkan kepada peraih atau pengguna.
Secara umumnya, banyak bahan yang digunakan untuk menghasilkan makanan ikan bagi memastikan nutrisi dan tumbesaran ikan adalah seimbang. Namun, harga bahan mentah bagi menghasilkan makanan ikan telah meningkat terutamanya tepung ikan.
Disebabkan cabaran itu, para penternak sentiasa mencari kaedah bagi mengurangkan kos operasi makanan ikan. Satu daripada cara mudah untuk menangani masalah ialah dengan tidak memberikan makanan kepada ikan ternakan dalam tempoh masa tertentu atau ‘mempuasakan ikan’.
Penternak ikan perlu berhati-hati sekiranya menggunakan kaedah ini, terutama sekali bagi ikan yang belum mencapai saiz pasaran. Kecenderungan untuk ikan terbantut dari segi tumbesaran adalah tinggi jika makanan tidak diberi pada suatu tempoh yang lama secara berterusan, dan seterusnya mendatangkan kerugian.
Satu kajian telah dijalankan oleh penyelidik di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Dr. Wan Zabidi Wan Morni mengenai kesan tidak memberikan makanan kepada ikan keli Afrika bagi suatu tempoh yang tertentu.
Kajian ini dijalankan untuk mengetahui kadar tumbesaran ikan yang dipuasakan selama satu hari, tiga hari, lima hari dan tujuh hari. Selepas tamat tempoh berpuasa, ikan diberi makan secara normal untuk mengukur kadar tumbesaran selepas berpuasa. Proses ini diulang sebanyak tiga kitaran selama 42 hari.
Hasil penyelidikan ini mendapati bahawa tumbesaran ikan yang dipuasakan menjadi terbantut berbanding dengan ikan yang diberi makan secara normal. Ini adalah termasuk dengan ikan yang dipuasakan selama satu hari seminggu, dimana kadar tumbesaran menjadi sangat perlahan dan berbeza sehingga 40 peratus kurang kadar berat dengan ikan yang menerima makanan secara normal.
Oleh itu, para penternak dinasihatkan untuk tidak mempuasakan ikan ternakan kerana ia akan memberi kesan pada tumbesaran ikan tersebut, terutama sekali ikan yang berlum mencapai saiz pasaran.
Selain itu, ikan yang dipuasakan mengalami kesan dalam sistem penghadaman ikan kerana aktiviti enzim pencernaan di dalam saluran usus tidak berlaku secara normal.
Ini menyebabkan ikan stres dan boleh membantutkan tumbesaran. Antara kesan lain ialah ikan akan menjadi agresif dan cenderung mencederakan ikan lain yang boleh menyebabkan kadar kematian ikan meningkat. Hal ini akan menjurus kearah kerugian walaupun penternak berjaya menjimatkan kos makanan.
Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan kualiti ikan yang baik, penyelidik mencadangkan agar penternak ikan mengamalkan rutin biasa dengan memberi makanan ikan dengan kadar peratusan makanan normal mengikut saiz ikan. Strategi pemberian makanan harus dirangka dengan baik dengan mengurangkan kekerapan jika ikan sudah hampir atau mencapai saiz pasaran.
Bagi penternak yang menggunakan tangki fibreglass atau tangki jenis kanvas, penternak disarankan memberi makanan secara normal kerana tiada makanan alternatif lain (makanan hidup atau tumbuhan) yang terdapat dalam tangki.
Selain itu, penternak ikan disarankan memberi makanan seperti biasa setiap hari sehingga ikan sudah mencapai saiz pasaran. Dengan ini, kaedah mempuasakan ikan boleh dilaksanakan, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu bagi mengekalkan saiz ikan yang dikehendaki pasaran.
Justeru, pemberian makanan secara berkala dan menghadkan pemberian makanan dalam tempoh tertentu atau melebihi 24 jam boleh mengganggu kadar tumbesaran ikan ternakan dan memberikan kesan yang negatif.
Setiap penternak mempunyai strategi untuk memastikan ikan mencapai saiz pasaran dalam tempoh yang singkat, namun elakkan daripada mempuasakan ikan yang belum mencapai saiz pasaran, dan kurangkan kadar peratusan pemberian makanan jika sudah atau hampir mencapai saiz yang dikehendaki.
Date of Input: 09/09/2024 | Updated: 09/09/2024 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA