Memilih Juadah Berbuka Yang Bersih, Elakkan Keracunan Makanan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Memilih juadah berbuka yang bersih, elakkan keracunan makanan

Memilih juadah berbuka yang bersih, elakkan keracunan makanan

**This article was published in Malay Language and no translation in English.**

**This article was published in UTUSAN MALAYSIA on 31st May 2017.**

 

Tidak berapa lama lagi, tibalah ramadhan. Bulan mulia yang mana umat Islam di seluruh dunia akan sama-sama berpuasa. Ibadah puasa merupakan ritual yang sangat agung dan hebat, ianya menjadi simbol ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Juga merupakan latihan merasai kesusahan mereka yang tidak berkemampuan di samping melahirkan individu yang prihatin terhadap kesusahan yang dialami oleh sebahagian masyarakat.

Tidak kurang penyelidikan yang memberikan perhatian kepada kebaikan puasa dalam mencegah penyakit-penyakit akibat pengambilan makanan yang tidak seimbang. Bagaimanapun, isu kebersihan makanan dan juga aspek yang memudaratkan jika kebersihan tidak diberikan perhatian; perlu juga dititikberatkan. Sempena kedatangan ramadhan ini, banyak gerai-gerai menjual makanan seperti pasar atau bazar ramadhan menawarkan pelbagai juadah. Sebahagiannya dikendalikan oleh mereka yang sudahpun mahir dalam penyediaan makanan, tidak kurang juga bagai usahawan muda yang baru berjinak-jinak untuk mencari pendapatan tambahan.

Sambil tidak menafikan kebaikan yang ditawarkan melalui penjualan juadah berbuka ini, kita sebagai pengguna perlu bijak memilih gerai terbaik yang kita yakini menyediakan makanan sebagai juadah yang bersih dan selamat untuk dimakan. Saban tahun, terdapat kes-kes keracunan makanan atau yang berkaitan dengan makanan/minuman dilaporkan. Sebahagian mereka perlu dirawat di hospital, sebahagian pula perlu menerima rawatan intensif dalam Unit Rawatan Rapi. Manakala di pihak pengendali, sebahagian gerai mereka perlu ditutup sementara sehingga aspek kebersihan telah pun diatasi. Namun, terdapat juga yang tidak dilaporkan yang mana individu berkenaan hanya mendapatkan rawatan secara individu tanpa dimaklumkan pada Pejabat Kesihatan berdekatan.

Keracunan makanan merupakan keadaan yang mana berlakunya salah satu atau lebih gejala gastroenteritis seperti sakit perut, loya, muntah, cirit-birit yang mungkin disertai demam serta gejala lain; dan ia berlaku berikutan pengambilan makanan dari sumber yang sama serta melibatkan sejumlah individu. Penyebab keracunan makanan biasanya adalah bakteria seperti Staphylococcus aureus (sejenis bakteria yang biasanya berada pada kulit, nasal hidung atau kudis pada kulit), Bacillus cereus, Salmonella spp serta beberapa mikroorganisma yang lain. Episod keracunan makanan secara umumnya dikaitkan dengan higen penyediaan makanan (bagaimana makanan disediakan, disimpan dan dipamerkan untuk jualan), tahap kebersihan individu serta amalannya dalam mengendalikan dan menyediakan makanan, serta kemudahan prasarana (bekalan air bersih, bekas makanan, tempat menyimpan yang higenik) yang disediakan di tempat penjualan. Sebahagian makanan pula telah disediakan terlalu awal iaitu mungkin pada waktu sebelumnya atau pada awal pagi; dan makanan itu pula tidak disimpan dalam bekas yang higenik. Terdapat juga kes yang mana pengendali menjual baki yang tidak habis dengan apa yang hendak dijual pada hari berikutnya.

Para pengendali makanan perlulah bijak mengimbangi keutamaan mereka dalam melaksanakan penjualan. Sempena ramadhan yang mulia juga, pengendali perlulah menanamkan sifat berkongsi kebaikan dengan niat berkongsi kebaikan mereka melalui penyediaan makanan yang bersih dan selamat untuk para pengunjung yang mengharapkan khidmat mereka. Pengendali makanan juga berkongsi pahala puasa selain dari keuntungan yang mereka perolehi dalam urusan yang berkenaan. Oleh itu, penyediaan makanan yang bersih dan selamat semestinya menjadi keutamaan disamping mengekalkan rasa makanan yang menggamit selera serta dijual pada harga yang berpatutan.

Untuk para pengguna, untuk elakkan membeli produk yang tidak higenik; dinasihatkan untuk membeli juadah dari individu yang mereka kenal mempunyai latar belakang penyediaan makanan yang baik, pengendali yang mementingkan aspek kebersihan diri dan makanan yang disediakan serta menyediakan ruang yang selesa untuk pengendali mencuci tangan serta seelok-eloknya mempunyai bekalan air paip  yang bersih. Disebabkan seharian berpuasa, kita seharusnya bijak untuk membezakan kehendak hati atau keperluan apabila menjengah gerai-gerai yang menawarkan pelbagai juadah istimewa.

Semua individu dalam masyarakat perlu mengambil langkah berhati-hati dengan gejala keracunan makanan serta tidak mengambil mudah terutama di kalangan kanak-kanak atau warga emas. Sebarang gejala muntah-muntah atau cirit-birit yang teruk perlu dibawa segera untuk rawatan yang sewajarnya. Dalam keadaan kecemasan di rumah yang mana perjalanan ke hospital/klinik mengambil masa, disyorkan kepada mereka atau individu di bawah jagaan yang alami keracunan makanan untuk mengambil air kelapa (tanpa gula dan ais) atau minuman probiotik atau minuman isotonik yang dapat menggantikan segera air dan garam galian yang hilang melalui muntah dan cirit birit berkenaan.

Antara langkah paling baik untuk mengelakkan keracunan makanan semasa bulan puasa ini ialah mengambil inisiatif memasak sendiri untuk hidangan berbuka. Sudah pasti, nasihat ini merupakan cabaran yang hebat untuk para ibu yang bekerja. Namun, melalui pengalaman ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan namun memerlukan kreativiti serta langkah awal yang tidak begitu komplikated. Rancangkanlah menu sajian berbuka dan pilihlah mana yang mudah. Menyediakan meehoon goreng, hidangan spaghetti berkuah, pizza roti, laksa ‘simple’, lempeng kelapa atau cucur taugeh/udang tidak memerlukan masa yang lama. Sebahagian sajian pula boleh dimasak terlebih dahulu, dan dibekukan dalam peti sejuk. Cuma perlu dikeluarkan dan dipanaskan sebelum hidang. Ramuan memasak boleh disediakan pada hujung minggu; serta diasingkan dalam bekas-bekas yang sistematik dalam peti sejuk. Dengan adanya produk ‘frozen’ yang pelbagai pada hari ini, juga memberi peluang untuk kita menyediakan kepelbagaian berbuka puasa.

Para ibu dan isteri terutama yang bekerja sebenarnya memerlukan motivasi untuk menyediakan makanan terbaik untuk keluarga. Sudah pasti, perhatian dari suami serta dorongan kasih anak-anak membantu dalam melaksanakan misi berkenaan. Selamat berpuasa, ramadhan kareem.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 31 Mei 2017

Prof. Madya Dr. Malina Osman
Pensyarah
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Date of Input: 02/06/2017 | Updated: 23/10/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/16:9:59:58~noCache