Article Summary
Demi menggapai impian, tidak menghalang pelajar Diploma Pembangunan Manusia, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Nur Zureyha Zurhaidi untuk menyambung pengajian sambil terus aktif dalam bidang nyanyian.
BINTULU, 31 Okt - Demi menggapai impian, tidak menghalang pelajar Diploma Pembangunan Manusia, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Nur Zureyha Zurhaidi untuk menyambung pengajian sambil terus aktif dalam bidang nyanyian.
Nur Zureyha, 19, berkata sungguhpun beliau perlu mengharungi kesukaran hidup, namun beliau berpandangan ilmu adalah jalan untuk terus maju serta peluang untuk memperoleh kerjaya yang menjamin masa depan.
“Walaupun saya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, lebih penting bagi saya mempunyai ilmu untuk saya lebih memahami tentang pengetahuan am serta perkara yang berlaku di sekeliling saya dengan pandangan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut berpandangan, bakat adalah satu perkara yang unik, tidak semua orang memilikinya. Namun ada satu pepatah yang beliau pegang iaitu “Talent is a gift, but character is a choice.”
“Saya lebih mementingkan karakter dan saya akan melakukan yang terbaik untuk memperbaiki kehidupan dan diri saya. Oleh kerana itu saya seiringkan antara pengajian dan bakat kerana ia adalah kemahiran insaniah yang memainkan peranan penting dalam kebolehpasaran graduan,” katanya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Reyha di UPMKB berkata, kesusahan yang ditempuhi oleh beliau sekeluarga membuatkan beliau terus bersemangat untuk mencapai matlamat hidupnya walaupun apa jua yang berlaku.
“Kehidupan saya pada awalnya ceria sehingga pada tahun 2019 segalanya berubah apabila saya kehilangan ayah. Semenjak itu, saya telah berazam untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan menghadapi apa jua bebanan hidup saya.
“Pada permulaannya saya mencari wang sendiri dengan menjual air ice blended sambil membantu ibu saya di gerai dengan menjual nasi berlauk dan saya juga menyediakan masakan di gerai,” katanya.
Beliau juga pernah mengusahakan kedai burger sendiri ketika itu dan akui mempunyai minat dalam bidang masakan.
Beliau akui hampir berasa putus asa ketika berada dalam fasa kesulitan hidup namun dengan mengenangkan keluarganya, beliau perlu cekal untuk mereka.
“Saya positifkan minda saya dengan menjadikan usahawan ternama sebagai inspirasi untuk saya berjaya dan saya percaya dengan ilmu dapat mempengaruhi masyarakat untuk mengikuti jejak kita untuk berjaya dalam akademik,” katanya.
Bercerita tentang bakat nyanyian beliau, Nur Zureyha bermula sejak kecil lagi dan kemudiannya dengan mengikuti kumpulan muzik di sekolah menengah selain turut mahir bermain alatan muzik piano, guitar, ukulele dan violin.
“Biasanya saya menyanyi atau bermain keyboard semasa di sekolah dan sering muat naik video menyanyi di Instagram sebagai hiburan saya dan pengikut platform berkenaan,” katanya.
Beliau mulai mencari wang saku lebih dengan mengikuti pelbagai pertandingan nyanyian di sekitar Sarawak secara kecil-kecilan bagi membantu keluarganya.
“Dengan hadiah pertandingan nyanyian ini saya gunakan untuk perbelanjaan sekolah ketika itu dan saya berasa bangga dengan menggunakan duit saya sendiri tanpa membebankan keluarga saya,” katanya.
Nur Zureyha akui ‘tuah’ beliau dapat memperkukuhkan bakatnya lagi dengan menyambung pengajian di UPMKB telah memberikan rezeki yang melimpah untuk meneruskan minat beliau itu.
“Saya aktif mengambil bahagian dalam bidang nyanyian tanpa menjejaskan pengajian saya dengan mengikuti pelbagai pertandingan dan persembahan rasmi untuk universiti antaranya di Majlis Konvokesyen UPM Sidang 1,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Zureyha turut menyertai beberapa pertandingan ratu cantik di sekitar daerah di negeri Sarawak. Terkini beliau telah memenangi beberapa pertandingan Ratu Cantik antaranya Batik Queen BMAS 2024, Agrofest Queen 2024 dan Ethnic Queen Pesta Tatau 2024.
Date of Input: 31/10/2024 | Updated: 31/10/2024 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA