Article Summary
Ekopelancongan semakin mendapat tempat dalam industri pelancongan global sebagai produk yang menawarkan pengalaman unik berasaskan alam semula jadi. Malaysia turut tidak ketinggalan dalam memperkenalkan ekopelancongan kepada pelancong domestik dan antarabangsa. Produk ini bukan sahaja berorientasikan hiburan, malah turut melibatkan elemen pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar.
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Ekopelancongan semakin mendapat tempat dalam industri pelancongan global sebagai produk yang menawarkan pengalaman unik berasaskan alam semula jadi. Malaysia turut tidak ketinggalan dalam memperkenalkan ekopelancongan kepada pelancong domestik dan antarabangsa. Produk ini bukan sahaja berorientasikan hiburan, malah turut melibatkan elemen pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar.
Namun begitu, ekopelancongan di Malaysia masih menghadapi cabaran untuk mencapai piawaiaan antarabangsa. Menurut Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azlizam Aziz, kebanyakan destinasi ekopelancongan di negara ini masih gagal menepati prinsip asasnya.
Pembangunan yang kurang terancang, pengabaian peranan komuniti tempatan, dan ketiadaan program pendidikan menjadi isu utama yang menghalang pertumbuhan sektor ini. Malaysia dilihat agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Thailand.
Thailand bukan sahaja menawarkan keindahan alam semula jadi, tetapi juga berjaya mempamerkan budaya mereka dengan cara yang unik dan kreatif. Ini memberikan nilai tambah kepada pelancong yang ingin mencari pengalaman asli yang sukar didapati di tempat lain.
Oleh itu bagi mempergiatkan lagi industri ekopelancongan, industri ini perlu berkembang mengikut acuan sendiri tanpa menerima konsep dari negara lain dan mengekalkan identiti tempatan.
Dalam hal ini, contohnya Langkawi yang terkenal sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia, tidak perlu bersaing dengan kreativiti produk ekopelancongan yang ditawarkan seperti Thailand.
Walaupun mempunyai potensi besar, produk yang disediakan seringkali kurang menarik dari segi reka bentuk aktiviti mahupun penyampaian pengalaman kepada pelancong. Bagi memperbaiki kelemahan ini, elemen keaslian atau authentic experience perlu diberikan perhatian serius.
Pelancong masa kini cenderung mencari pengalaman unik yang berbeza, bukan sekadar replika destinasi lain. Malaysia perlu memanfaatkan keindahan alam semula jadi, warisan budaya, dan keunikan ekologi tempatan untuk mempersembahkan produk ekopelancongan yang benar-benar memukau.
Di samping itu, promosi dan pemasaran produk ekopelancongan perlu dijalankan secara lebih agresif dan konsisten bagi mengekalkan momentum industri ini. Kerjasama antara sektor awam, swasta, dan institusi penyelidikan amat penting dalam usaha ini.
Bagi meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor ini, beberapa langkah perlu diambil seperti kreativiti menjadi keutamaan dalam pembangunan produk ekopelancongan, termasuklah menyepadukan elemen pemuliharaan, pendidikan, dan komuniti dalam setiap aspek pembangunan.
Memperkuat kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta, dan institusi penyelidikan untuk memastikan produk ekopelancongan dibangunkan berasaskan kajian komprehensif dan bukti saintifik.
Mengenengahkan pengalaman autentik Malaysia yang mempunyai keunikan dari segi budaya, warisan, dan ekologi untuk dimanfaatkan sebagai pengalaman yang tidak dapat diperoleh di tempat lain dan mampu memberi tarikan semula jadi.
Secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai potensi besar untuk membangunkan sektor ekopelancongan. Walau bagaimanapun, usaha berterusan diperlukan untuk memastikan pembangunan yang lebih lestari, inovatif, dan berdaya saing di peringkat global. Malaysia bukan sahaja dapat bersaing dengan negara jiran, malah mampu menjadi model ekopelancongan yang diiktiraf di peringkat dunia.
Date of Input: 31/12/2024 | Updated: 31/12/2024 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA