Article Summary
Kerjaya dalam bidang sains tanaman padi adalah impian seorang penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meminati bidang pertanian sejak usia tujuh tahun. Namun beliau tekad untuk meningkatkan pengeluaran beras negara agar ianya stabil dan menjamin keterjaminan makanan negara dengan memilih untuk menjadi seorang penyelidik bagi eko-sistem tanaman padi.
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Nor Azreen Awang
Kerjaya dalam bidang sains tanaman padi adalah impian seorang penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meminati bidang pertanian sejak usia tujuh tahun. Namun beliau tekad untuk meningkatkan pengeluaran beras negara agar ianya stabil dan menjamin keterjaminan makanan negara dengan memilih untuk menjadi seorang penyelidik bagi eko-sistem tanaman padi.
Penyelidik padi U-Putra yang juga Pengarah Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) UPM, Prof. Dr. Mohd Rafii Yusop mula didedahkan dalam dunia pertanian dengan membantu ibu dan ayahnya menguruskan sawah padi di kampung halamannya di Perak, bagi kajian beliau adalah untuk meningkatkan kadar penghasilan varieti padi baru dan mewujudkan konsortium bagi penghasilan varieti padi pada kadar yang tinggi.
Di UPM, beliau bukan hanya menjadi seorang penyelidik, malah seorang pendidik kepada golongan muda di luar sana yang akan turut membantu usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan dan meningkatkan keterjaminan makanan lagi-lagi dalam bidang sains tanaman padi.
“Sawah padi telah ada lama dalam diri saya sejak sekolah rendah kerana setiap hari membantu ibu dan ayah mengusahakan bendang keluarga. Saya mulai serius ceburi kerjaya lasak ini 32 tahun lalu dengan menyambung Bachelor Pertanian di Fakulti Pertanian UPM.
“Kerana pekerjaan sebagai pesawah padi adalah pekerjaan utama keluarga selain menternak ayam. Dengan hasil sawah padi inilah, saya dibesarkan.
“Saya menyaksikan menjadi seorang petani bukanlah pekerjaan yang mudah. Dengan kudrat, perlu menyemai padi, membajak, mencantas dan menguruskan sawah padi pagi hingga ke senja. Paling terkesan apabila tiba musim yang tak menentu. Apabila musim kemarau, bekalan air kurang dan apabila musim hujan, tanaman padi tenggelam.
Kerana terlalu cintakan pertanian dan ingin membantu golongan petani di luar sana, beliau memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang pertanian walaupun pada awalnya mendapat tentangan daripada adik beradik yang lain yang ingin melihat masa depan adiknya lebih cerah.
“Namun saya buktikan kepada semua ahli keluarga, bahawanya saya telah menjadi seorang doktor pertanian sekarang berkat usaha dan doa daripada ibu dan ayah yang mempercayai pilihan saya untuk menyambung pengajian dalam bidang pertanian,” katanya.
Bermula dari kejayaan tersebut, beliau berjaya menghasilkan Padi Putra 1 dan Padi Putra serta mendapat pengesahan dan kelulusan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk dikomersialkan serta ditanam oleh pesawah seluruh negara. Kedua-dua varieti padi berkenaan mampu menghasilkan antara lapan hingga 12 tan padi bagi setiap satu hektar tanah semusim atau 105 hari sehingga hari penuaian.
Antara impak inovasi sosial dan komersial hasil penyelidikannya pada masyarakat ialah melalui varieti padi Putra 1 yang berhasil tinggi dan rintang penyakit karah padi. Selain itu, beliau turut berjaya menghasilkan varieti padi Putra 2 yang toleran terhadap rendaman semasa banjir dan beberapa varieti sayur-sayuran yang lain.
Prof. Dr. Mohd Rafii berkata, kedua ibu bapanya adalah sifu dalam bidang pertanian. Mereka banyak mengajar beliau menguruskan sawah padi dan berkecimpung dalam bidang pertanian.
“Saya bersyukur kerana ilmu dan pengalaman itu kini saya giat menjalankan penyelidikan dalam bidang pembiakbakaan dan genetik tanaman makanan dan perladangan seperti padi, sayur-sayuran dan kelapa sawit,” katanya.
Anak ketujuh daripada 12 beradik ini akan sentiasa berusaha memberi sumbangan kepakarannya dalam penyelidikan sektor pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan negara dalam keadaan yang baik sepanjang 20 tahun perkhidmatannya di UPM.
Kini beliau sedang menghitung hari bagi menamatkan perkhidmatannya pada 5 Januari 2024 di ITAFoS UPM sebagai seorang penyelidik dalam bidang sains tanaman padi.
Sebelum ini beliau berjaya meraih Anugerah Khas Akademia Putra yang merupakan anugerah utama bagi Anugerah Fellowship Naib Canselor pada Majlis Gemilang Putra 2023 (MGP 2023) bagi penyelidikan dalam bidang pembiakbakaan dan genetik tanaman makanan dan perladangan seperti padi, sayur-sayuran dan kelapa sawit.
Baginya untuk berjaya dalam bidang pertanian itu harus berani dan yakin pada diri sendiri demi melakukan perubahan. Seperti kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta kerana jika seseorang itu tidak mencuba, mereka tidak akan tahu sama ada berjaya atau tidak.
“Minat dan kesungguhan dan pemahaman yang jelasnya dalam aktiviti pertanian adalah suatu ibadah yang akan memberikan ganjaran pahala di sisi Allah,” ujarnya.
Date of Input: 29/12/2023 | Updated: 16/01/2024 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA