Tips Untuk Ibu Kekalkan Pengeluaran Susu Pada Bulan Ramadan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Tips untuk ibu kekalkan pengeluaran susu pada bulan Ramadan

Tips untuk ibu kekalkan pengeluaran susu pada bulan Ramadan

Article Summary
Para ibu boleh membuat penyimpanan stok susu dengan melakukan perahan awal sebelum bulan Ramadan bagi menyimpan stok susu dengan menggunakan teknik power pumping iaitu pada waktu malam untuk proses pengeluaran susu yang lebih banyak.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

Seorang ibu itu ingin berpuasa di bulan Ramadan tanpa menjejaskan pengeluaran susu ibu agar anak dapat menyusu sama seperti hari-hari biasa dan tidak mahu penghasilan susu terjejas. Walaubagaimanapun dalam situasi ini ibu yang menyusukan tergolong dalam kalangan orang yang diberi kelonggaran daripada kewajipan puasa, antaranya atas faktor kesihatan.

 

Namun begitu, kajian yang dilakukan sebelum ini mendapati 90 peratus ibu yang menyusukan dapat berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan. Ibu yang sedang menyusukan anak tidak beranggapan bahawa berpuasa akan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan mereka dan anak.

 

Bagi ibu menyusu yang tidak mempunyai masalah kesihatan adalah dibenarkan untuk berpuasa Ramadan mengikut kemampuan masing-masing. Menurut Ketua Jururawat Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM, Norlindawati Mohd Nor, bagi mengekalkan pengeluaran susu, seorang ibu itu perlu melakukan beberapa persediaan awal semasa bulan Ramadan ini.

Persediaan awal

 

Para ibu boleh membuat penyimpanan stok susu dengan melakukan perahan awal sebelum bulan Ramadan bagi menyimpan stok susu dengan menggunakan teknik power pumping iaitu pada waktu malam untuk proses pengeluaran susu yang lebih banyak.

 

Konsep DEMAND & SUPPLY

 

Susu ibu yang kerap dikeluarkan sama ada menyusui secara langsung dengan ibu atau pam, isyarat akan sampai ke otak dan mengarahkan kilang susu untuk menghasilkan lebih banyak susu bagi memenuhi keperluan bayi.

 

Sejenis protein iaitu feedback inhibitor of lactattion (FIL) akan terhasil di dalam payudara dan memperlahankan penghasilan susu. Pada keadaan ini, penghasilan susu akan terhenti dan kuantiti susu akan mulai merundum kerana tiada aktiviti penyusuan bayi dalam tempoh yang lama.

 

Pastikan ibu kerap menyusukan bayi atau pam susu secara berjadual untuk memastikan lebih banyak penghasilan susu berlaku dan mengelakkan jumlah susu merundum.

Ubah jadual perahan

 

Bagi mengekalkan pengeluaran susu ibu lagi-lagi pada bulan Ramadan, seorang ibu itu perlu mengubah jadual perahan. Pada bulan Ramadan seorang ibu itu boleh awalkan waktu perahan iaitu selepas waktu bersahur dan melakukan perahan selepas waktu berbuka puasa.

 

Ini kerana selepas bersahur dan juga berbuka tenaga di dalam badan seorang ibu banyak dan penghasilan hormon. Ibu-ibu jangan lupa melakukan perahan susu setiap dua hingga jam seperti jaduah perahan sebelum ini.

 

Bagaimanapun, bagi ibu yang tidak bekerja dan menyusukan secara terus, andai tidak larat ibu boleh menggantikan dengan susu perahan.

 

Penyusuan di waktu malam

 

Pada waktu malam penyusuan susu dapat membantu ibu menghasilkan susu dengan banyak kerana kandungan susu ketika itu tinggi kandungan hormon prolaktin. Hormon prolaktin adalah hormon kasih sayang antara ibu dan juga bayi.

 

Jika penyusuan kerap dilakukan pada waktu malam ia penting bagi memberi signal kepada otak untuk meningkatkan penghasilkan susu pada siang hari. Bukan itu sahaja, penghasilan susu pada waktu malam tinggi dengan kandungan lemak dan membantu menambah berat bayi.

 

Sokongan keluarga

 

Ibu yang menyusukan bayi mereka akan mudah berasa letih di siang hari. Sokongan daripada suami dan keluarga yang lain adalah sangat penting bagi membantu ibu dalam melakukan kerja-kerja seharian. Ibu perlu kurang melakukan kerja-kerja berat semasa berpuasa supaya tidak tertekan, penat dan mudah berasa lapar atau dahaga. Rembesan hormone oksitosin akan meningkat jika ibu sentiasa positif, gembira dan tenang seterusnya dapat membantu dalam rangsangan pengaliran susu ibu.

Sementara itu, Pegawai Dietetik, HSAAS UPM,  A'ishah Zafirah Abdul A'zim berkata, bagi ibu yang berpuasa perlu makan makanan yang mengandungi zat untuk penghasilan susunya yang berkhasiat dalam menjamin kesihatan ibu.

 

Makan makanan seimbang

 

Bersahurlah agar tenaga di dalam badan seorang ibu kekal ada dengan mengamalkan makanan  yang seimbang seperti karbohidrat, protein, sayur dan juga buah-buahan. Semasa bersahur dan ketika berbuka puasa seorang ibu perlu cukup zat agar tidak menjejaskan pengeluaran susu.

 

Paling penting, seorang ibu itu perlu minum air semasa bersahur dan berbuka. 90 peratus daripada susu ibu adalah terdiri daripada air. Jadi para ibu perlu meningkatkan pengambilan cecair apabila menyusu. Tubuh badan ibu akan sihat dan terhidrat apabila minum air dengan cukup. Ini akan mengekalkan bekalan susu badan si ibu. 

 

Date of Input: 19/03/2024 | Updated: 19/03/2024 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/23:3:39:26~noCache