Pakar Metabolomik UPM ‘bongkar’ Kimia Dalam Tumbuhan Hutan Semula Jadi Malaysia | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Pakar metabolomik UPM ‘bongkar’ kimia dalam tumbuhan hutan semula jadi Malaysia

Pakar metabolomik UPM ‘bongkar’ kimia dalam tumbuhan hutan semula jadi Malaysia

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Najman Saleh

 

SERDANG, 20 Dis - Dalam usaha meneroka sumber alam semula jadi, penyelidik metabolik Universiti Putra (UPM) Prof. ChM. Dr. Intan Safinar Ismail menjalankan kajian terhadap kandungan kimia hasilan semula jadi di Malaysia yang memfokuskan sumber hutan.

 

Beliau berkata, herba Clinacanthus nutans (Belalai Gajah), Dysoxylum acutangulum (Bekak), buah Citrullus lanatus (Tembikai) dan pokok hutan Walsura chrysogyne dikenalpasti mempunyai sebatian atau kumpulan sebatian terbaik melawan penyakit tertentu.

 

“Kepentingan data asas yang kukuh membantu pengguna mengambil produk semula jadi dengan selamat dan berkesan. Produk berasaskan bahan semula jadi yang tidak disokong oleh data asas yang sahih boleh mendatangkan risiko kepada pengguna,” katanya.

 

Prof. ChM. Intan Safinar yang juga pakar dalam bidang metabolomik berkata, proses mengasingkan sebatian atau kumpulan sebatian daripada ekstrak tumbuhan ubatan memerlukan ketelitian kerana perlu menggabungkan pelbagai teknik pemisahan kimia dan kaedah metabolomik.

 

“Berbeza dengan pendekatan konvensional, metabolomik memberikan gambaran yang lebih menyeluruh terhadap kepelbagaian kimia dalam tumbuhan. Dengan teknologi seperti spektroskopi Resonans Magnet Nuklear (NMR) dan Kromatografi-Mass Spectrometry kita dapat menjejaki cap jari kimia tumbuhan dengan lebih terperinci,” katanya.

 

Beliau berkata, metabolomik merupakan kajian menyeluruh tentang metabolit kecil yang terdapat dalam organisma, termasuk tumbuhan.

 

“Dalam konteks tumbuhan hutan semula jadi, metabolomik bertujuan untuk memahami profil metabolit yang unik serta bagaimana metabolit ini mencerminkan fungsi, adaptasi, dan interaksi tumbuhan dengan persekitaran,” katanya.

 

Tambah beliau, penggunaan metabolomik bukan sahaja membantu mengenal pasti potensi pemulihan, tetapi juga mendedahkan sebatian yang mungkin berbahaya.

 

“Kajian ini turut memberi manfaat kepada masyarakat tentang pemahaman yang jelas tentang kebaikan dan keburukan sesuatu bahan walaupun ia berasal daripada sumber semula jadi,” katanya.

 

Tambah beliau, terdapat penjualan produk herba di pasaran masa kini hanya berdasarkan testimoni dan bukan melalui kajian secara saintifik. Justeru, adalah penting untuk menganalisa dan mengenalpasti tumbuhan hutan tersebut bersesuaian dengan dos untuk diambil oleh individu.

 

“Contohnya secara testimoni daun belalai gajah dikatakan baik untuk mencegah dan merawat pesakit kanser namun perlu dikaji secara saintifik kesahihan perkara tersebut untuk mengelakkan toksid dalam tubuh manusia,” katanya.

 

Prof. ChM. Intan Safinar berkata gabungan pendekatan konvensional dan metabolomik telah membuka jalan baharu untuk memahami kepelbagaian kimia tumbuhan.

 

“Kajian ini bukan sahaja menonjolkan potensi sebatian bioaktif dalam meningkatkan kesihatan manusia, tetapi juga membuka peluang untuk penghasilan produk farmaseutikal dan nutraseutikal,” katanya.

 

Dalam pada itu, dengan kemajuan teknologi dan analisis metabolom, rahsia kebaikan tumbuhan hutan dapat dibongkarkan bagi memanfaatkan keajaiban alam untuk kebaikan manusia serta membantu industri herba tempatan.

 

 

 

Date of Input: 22/12/2024 | Updated: 22/12/2024 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/22:22:28:49~noCache