SERDANG, 20 Februari - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSASS) menerima kunjungan hormat delegasi University Alliance in Talent Education Development (UAITED), Taiwan yang diketuai oleh Jeter Her, baru-baru ini.
Delegasi itu telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Ir. Dr. B.T Hang Tuah Baharudin bagi membincangkan penubuhan platform perkhidmatan untuk hospital bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan serta pembangunan profesional tenaga kerja kesihatan.
Dalam pada itu, HSAAS turut memeterai Memorandum Persefahaman Cross-Border High Quality Medical Services Platform dengan UAITED bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan melalui latihan berstruktur serta perkongsian ilmu untuk profesional kesihatan bagi memudahkan pertukaran amalan terbaik.
Prof. Ir. Dr. B.T Hang Tuah Baharudin berkata kerjasama ini digunakan bagi meningkatkan mutu latihan perkhidmatan kakitangan staf perubatan.
“MoU ini membuka peluang yang lebih banyak untuk memupuk pembudayaan jaringan kerjasama dengan industri bagi meningkatkan perkongsian ilmu antara akademia, industri dan masyarakat.
“Kerjasama HSASS dan UAITED memberi peluang kepada tenaga pekerja dengan menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia bagi mempersiapkan mereka pada masa hadapan,” ujarnya.
Turut hadir, Pemenang Nobel Laureate Prof. Sir Konstatine Sergeevich Novoselov, Pengarah HSAAS, Prof. Dr. Hamidon Basri bersama ahli Pengurusan HSAAS.
Date of Input: 20/02/2025 | Updated: 20/02/2025 | aghniya
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA