Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 10 Jan – Dengan kehadiran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dalam pelbagai antaranya industri pertanian telah banyak melalui perubahan terutamanya dalam teknik serta kaedah penanaman pertanian yang boleh dijalankan secara modenisasi sejajar dengan keadaan semasa.
Alumni Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Shafiq Saari, 34, berkata bisnes pertanian negara adalah luas dan belia perlu mengambil peluang untuk menerokai bidang tersebut.
“Kerjaya pertanian tidak hanya tertumpu kepada menjual hasil tanaman malah penjualan perkhidmatan konsultasi, penyediaan dan pemasangan sistem penamanan, perkhidmatan Internet of Things (IoT) dan Pengurusan Aplikasi Pertanian (Apps Management) boleh dilakukan,” katanya.
Beliau turut kongsikan permulaan beliau menimba pengalaman teknologi pertanian ketika menyediakan projek akhir di mana beliau mengadaptasikan Geographical Information System (GIS dan Site Specific Management) pada kawalan serangga perosak dan penyakit pada tanaman yang menggunakan kaedah fertigasi.
“Saya menggunakan kaedah tersebut untuk kawalan serangga perosak dan penyakit pada ladang durian bersaiz 100 ekar dan kemudian saya menggunakan kaedah ini pada 60, 000 tanaman pokok di kebun cili Braintree Sdn. Bhd,” katanya.
Pertanian dapat meningkatkan ekonomi negeri dengan ketepatan dalam pertanian, bukan pada kaedah penanaman Sahaja, kaedah pengurusan dan jualan juga kena real time untuk memastikan petani, pemborong dan pengguna dapat hasil yang mencukupi dan selamat.
Beliau yang kini menggunakan pemantauan pertanian secara maya dengan mengawal situasi di kebun tanaman yang berada di sekitar Selangor dan Perlis dari rumahnya di Bidor, Perak.
Muhammad Shafiq berpandangan pengajian pertanian ini masih relevan tetapi perlu selari dengan era kemodenan sedia ada. Banyak perubahan patut dibuat pada silibus pembelajaran.
“Pertama sekali persepsi bidang pertanian tiada masa depan adalah apabila petani dan agensi tiada centralized data dan crop calendar, tiada susunan calendar tanaman. Perkara ini menyebabkan lambakan hasil tanaman yang sama pada semua negeri.
“Perkara yang patut dibuat adalah pelaksanaan tanaman daerah bermusim ataupun circle atau kumpulan pakar tanaman membina Kumpulan yang boleh mengikut jadual tanaman,” katanya.
Tambah beliau, petani digalakkan membuat tanaman dan hasil pelbagai dan juga hasil yang dijual bukan secara mentah.
“Tetapi pre proses bagi meningkatkan value hasil jualan. Contoh bungkusan pek kecil ready to eat ataupun ready to cook,” katanya.
Muhammad Shafiq juga berpandangan bagi memupuk minat belia untuk terlibat pertanian, adalah dengan membentuk belia yang pandai menjual, bukan hanya pandai menanam sahaja.
“Keusahawanan itu perlu ada pada setiap petani yang akan menyebabkan pemikiran pada belia pertanian itu menguntungkan dan bukan sebagai perjudian yang mempertaruhkan modal dengan tanam dan rugi atau untung yang tidak pasti,” katanya.
Tambah beliau, program keusahawanan dari agensi pertanian, kursus penjualan, kursus post harvesting, kursus teknologi pertanian, gabungan idea dari pakar pertanian akan memupuk minat agro business di kalangan rakyat Malaysia.
“Kreatifkan diri dalam pertanian kerana peluang besar di dalam bidang pertanian. Dalam 400,000 petani sedia ada dalam Malaysia, jangan termasuk dalam golongan tersebut tetapi jadilah orang yang mengetuai golongan 400,000 petani di dalam Malaysia.
“Jangan perkecilkan skop pertanian hanya dengan bercucuk tanam, di era revolusi industri 4.0 para petani moden juga kena bercucuk tanam di cloud dan harvest pada data semasa. Supaya dapat selarikan kehendak pelanggan dengan penghasilan sama ada pertanian ataupun servis pertanian,” katanya.
Date of Input: 28/01/2025 | Updated: 28/01/2025 | eszereen
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA