“Tahun Baru Cina Disambut Meriah” – Dekan FPV UPM | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » “Tahun Baru Cina disambut meriah” – Dekan FPV UPM

“Tahun Baru Cina disambut meriah” – Dekan FPV UPM

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

 

 

 

 

SERDANG, 28 Jan – Dalam semangat Tahun Baru Cina yang melambangkan permulaan baharu dan kemakmuran, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil langkah proaktif untuk memacu transformasi dalam pendidikan veterinar dan kebajikan haiwan.

 

Dekan FPV, Prof. Dr. Goh Yong Meng, berkongsi perancangan besar fakulti untuk tahun ini dengan memberi tumpuan kepada pelajar, penyelidikan, dan perkhidmatan komuniti.

 

“Kami mahu membina pusat pembelajaran moden yang bukan sahaja menyediakan kemudahan terkini tetapi juga pengalaman praktikal kepada pelajar. Matlamatnya adalah untuk melahirkan generasi profesional yang mampu mencorak masa depan negara sama seperti simbol kemakmuran yang diilhamkan oleh Tahun Baru Cina,” katanya.

 

Beliau berkata, pelajar adalah tonggak utama perubahan dan dengan membangunkan fasiliti terkini dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, FPV komited untuk melahirkan generasi profesional yang akan mengubah landskap industri veterinar dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebajikan haiwan.

 

“Dalam usaha memperluaskan impak kepada masyarakat fakulti kini menawarkan pelbagai perkhidmatan veterinar termasuk klinik haiwan kesayangan, klinik bergerak untuk haiwan besar, serta makmal ujian,” katanya. 

 

Menurut Prof. Dr. Goh, inisiatif ini turut disokong oleh projek kebajikan haiwan yang mendidik masyarakat tentang tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan mereka.

 

“Saya percaya penjagaan haiwan yang bertanggungjawab mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi. Seperti konsep keluarga dalam Tahun Baru Cina, haiwan peliharaan juga dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga,” katanya. 

 

Berkongsi keterujaan sempena sambutan Tahun Baru Cina, Prof. Dr. Goh menggambarkan kehangatan Makan Besar Malam Tahun Baru di mana hidangan tradisional seperti yee sang, ikan stim, ladu dan kuih bakul dinikmati bersama keluarga.

 

“Hidangan ini bukan sekadar makanan, tetapi membawa simbol keberkatan, kemakmuran, dan rezeki di samping orang tersayang serta dapat merapatkan hubungan kekeluargaan di hari istimewa ini,” katanya. 

 

Dengan semangat sama seperti simbol ular yang melambangkan kekuatan dan keberanian, fakulti ini bertekad menjadi peneraju dalam melahirkan profesional veterinar yang kompeten dan berdaya saing.

 

“Sempena Tahun Ular saya mahu menginspirasi pelajar untuk menggapai kejayaan serta boleh membawa transformasi besar dalam industri veterinar dan membina masa depan yang lebih baik untuk masyarakat,” katanya.

Date of Input: 28/01/2025 | Updated: 28/01/2025 | aghniya

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2025/1/31:9:16:16~noCache